Menawan Mahameru; ‘Sorga’ Bagi Para Pendaki Gunung Berapi!

Keindahan alam semula jadi yang terdapat di negara jiran cukup menakjubkan. Pesona Indonesia yang terbit daripada aneka ragam alam dan budaya, kemudian berpadu bersama masyarakatnya yang ramah, memberikan kesan yang penuh makna kepada para pengunjung republik ini. Sebagai sebuah negara kepulauan yang terbesar dan dibentuk oleh lima pulau utama; Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi dan Papua, berkelana dan mengembara ke Indonesia perlu dimasukkan ke dalam ‘bucket-list’ anda!

Indonesia berada di dalam Lingkaran Api Pasifik

Catatan pengalaman perjalanan pada kali ini menelusuri salah satu wilayah yang terkenal dengan deretan gunung berapi, iaitu Provinsi Jawa Timur. Aktiviti volkanik yang melingkari keseluruhan Pulau Jawa telah membentuk jajaran yang terbentang luas dari arah timur hingga ke barat, dan akhirnya membentuk dataran aluvium yang terenap di dasar sungai di bahagian utara. Kedudukan geografinya yang berada di dalam ‘Lingkaran Api Pasifik’, tidak mencetuskan kehairanan apabila acapkali letusan gunung berapi berlaku di negara ini.

Saya dan seorang rakan telah berpeluang untuk berkelana di Provinsi Jawa Timur pada awal bulan Oktober tahun lepas. Perjalanan kami berjalan lancar mengikut perancangan yang telah dibuat; Kota Kinabalu-Kuala Lumpur-Surabaya-Probolinggo-Lumajang-Banyuwangi-Bali-Lombok-Kuala Lumpur-Kota Kinabalu. Pun demikian, tulisan kali ini hanya berkisar tentang pendakian saya dan rakan ke Gunung Mahameru yang terletak di Kabupaten Lumajang dan Kabupaten Malang. Perjalanan yang penuh cerita dan alam, pengalaman, debaran, cabaran fizikal dan permainan mental, yang tidak mungkin bisa dilupakan.

Puncak Mahameru.

Kami berdua memulakan perjalanan ke Desa Ranupani yang terletak di Kabupaten Lumajang setelah berwisata alam di Bromo selesai. Desa Ranupani adalah perkampungan terakhir sebelum melanjutkan pendakian ke Semeru. Lautan pasir yang sudah menebal akibat letusan-letusan terdahulu dan membentuk laluan perjalanan tidaklah terasa sukar apabila kami dibawa menaiki “Jeep”. Sesekali terhentak dan terhantuk pada sisi tingkap, hanya perkara biasa. Perjalanan ke Ranupani daripada Bromo mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan. Anda pasti teruja melihat keindahan alam sekeliling. Terkadang, saya meminta Pak Supir untuk memperlahankan kenderaan ataupun berhenti di bahu jalan untuk mengambil gambar kenangan.

“Jeep” adalah pengangkutan umum di Lautan Pasir, Bromo

Udara dingin yang menerpa pada wajah cukup menerbit rasa tenang setelah tiba di Desa Ranupani. ‘Jeep’ ataupun kenderaan bermotor yang lain tidak dibenarkan memasuki kawasan rukun tetangga kecuali ojek (motosikal) dan ‘truck’ yang mengangkut keluar hasil pertanian. Kabupaten Lumajang yang mempunyai iklim sederhana ini menjadikannya sebagai salah satu daerah pembekal sayur-sayuran tanah tinggi kepada rakyat Indonesia secara amnya dan juga untuk dieksport keluar negara. Ada kentang, kobis, dan tomeo pula dieksport ke Korea.

Saya dan rakan kemudiannya menaiki ojek secara berasingan menuju ke rumah rehat sebelum pendakian Semeru pada keesokan paginya. Ranupani adalah desa yang permai. Penduduknya bekerja sebagai petani. Pandangan yang menghijau seluas mata memandang,  melatari landskap desa nan indah.

Desa Ranupani, Kabupaten Lumajang.

Di rumah rehat, kami berkenalan dengan Gandhi; anak muda awal 20-an yang menolong ibu bapanya dalam perusahaan  mereka. Gandhi menunjukkan kamar istirahat kami sementara dia menyiapkan juadah tengah hari. Pada hari tersebut, hanya kami berdua sahaja yang menginap di sana. Tilam yang empuk, cuaca dingin, dan rasa lelah yang belum hilang semasa perjalanan di Bromo, menjadikan tidur terasa nikmat. Apatah lagi, bila sudah menjamah makan tengah hari yang enak; sup sayur yang hangat, tempe, tauhu dan ayam goreng.

Pada sebelah petang pula, Gandhi menawarkan diri untuk membawa kami ke Ranu Regulo. Sebuah tasik yang jaraknya lebih kurang 50 meter daripada rumah rehat. ‘Ranu’ ini bermaksud danau. Dalam kedinginan sore, kami terus menapak sambil berbual-bual. Dia baru sahaja tamat ijazah pertama ataupun disebut ‘S1’ di Indonesia. Mereka sekeluarga bukan berasal daripada desa itu. Mereka daripada Malang, cuma sudah lama membuka perusahaan di sana.

“Abang sudah menikah?”, antara soalnya.

“Belum. Masih banyak lagi yang perlu di-urusin”, balas saya cuba berbahasa Indonesia sesekali.

“Di desa ini, anak-anak seusia saya sudah menikah. Mereka lagi tamat SMA (sekolah menengah), terus menikah”, jawabnya.

“Tapi, saya juga masih terlalu awal untuk itu. Cumannya, itu bukan kebiasaan di sini untuk menikah lambat”, sambungnya.

Kami meneruskan perbualan dan terus menapak ke hadapan. Cuaca agak kelam, dingin dan berkabus. Kami tiba di Ranu Regulo yang terletak pada ketinggian ~2100 MDPL(Meter Daripada Permukaan Laut). Saya rasa kagum dengan keindahan alam ciptaan Ilahi. Kelihatan beberapa anak muda mendirikan khemah, bermain gitar dan galak berbual sesama mereka.

“Kalau di sini, ada pantangnya bang. Tidak bisa mandi . Kalau setakat cuci tangan itu, nggak apa-apa”, kata Gandhi

Saya dan rakan, mengangguk. Ranu Regulo kelihatan mistis. Kami tenggelam dalam emosi masing-masing, menghirup udara sedalam-dalamnya dan terasa segar. Kabus terhasil dari rongga mulut setiap kali kami menutur bicara. Ada sedikit kesal kerana tidak datang ke sini lebih awal, tapi tubuh juga butuh istirahat. Azan Maghrib berkumandang dan kami pun menapak pulang.

Ranu Regulo berada pada ketinggian ~2100 MDPL

Setelah menjamakkan solat Maghrib dan Isyak, kami pun menjamah makan malam yang disediakan oleh Gandhi dan bapanya. Lazat rasanya dengan juadah yang pelbagai. Hanya kami berdua berada di dalam ruangan makan yang besar.

“Kebiasaannya, ruang ini penuh bila hari liburan(cuti) atau hujung minggu. Sebelum abang sampai, bule’(orang Putih) ada nginep di sini”, bicara Gandhi.

“ Kalian tiba di hari biasa. Nggak sibuk”, sambungnya.

Hujan yang merintik perlahan, bertukar lebat. Mudahan sahaja cuaca bagus pada keesokan hari untuk meneruskan ‘misi’ pendakian kami berdua.

Makan malam di rumah rehat.

Sebetulnya, perjalanan saya dan rakan ini agak singkat. Kami memulakan petualangan pada 9 haribulan sehingga ke 17 haribulan, tetapi banyak yang ingin kami lakukan.  Maka, pendakian ke Semeru yang kebanyakan orang lakukan beberapa hari, kami lakukan hanya semalaman. Kami bukan pendaki professional, sekadar berjinak-jinak dengan hobi dan aktiviti baharu. Tujuannya hanya mencabar diri, mencari kekuatan dan memupuk keyakinan, dan mungkin membuka ‘milestone’ yang baru untuk rekod diri masing-masing.

Mas Sulisman mendatangi kami pada malam itu. ‘Guide’ yang ditugaskan menjaga keperluan dan menunjuk laluan untuk keesokan hari. Beliau menerangkan serba-serbi perjalanan esok hari, bertanyakan makanan apa yang kami mahukan supaya beliau boleh ke luar kota dan menyediakan kelengkapan masakan.

“Rain coat-nya, ada Mas?”, soal Mas Sulisman.

“Kalau nggak ada, saya bisa tolong belikan”

“Boleh aja, Mas. Saya punya lagi tertinggal di rumah”, kami berdua memesan rain-coat plastik.

“Mas, ini insyaAllah kali pertama pendakian saya. Saya nggak pernah mendaki mana-mana gunung pun sebelum ini sekalipun gunung tertinggi di negara saya itu letaknya di negeri saya”, saya berterus terang.

“Tapi, saya juga ada melakukan sedikit latihan sebelum ini. Mendaki bukit-bukit, berlari..”, sambung saya. Tiba-tiba rasa berdebar pula untuk aktiviti esok. Tidak pernah terlintas pada hemat saya untuk mendaki di luar negara. Selalunya, berjalan-jalan, melihat tradisi, orang-orang tempatan dan menenangkan diri. Kali ini, bisa mengalirkan adrenalin! Malah dalam keseluruhan perjalanan ini, kami sudah pun ‘hiking’ di Bromo, bakal mendaki Semeru, dan akan mendaki lagi di Banyuwangi untuk melihat Kawah Ijen.

“Nggak perlu risau. Tenang sahaja. Bila penat, kita istirahat”, sambung Mas Sulisman sambil tersenyum.

Kami menyerahkan ‘Surat Keterangan Sehat’ yang diperoleh daripada kantor(pejabat) Palang Merah Indonesia (PMI) sewaktu tiba di Kota Probolinggo pada malam sebelumnya. Para pendaki Semeru perlu mendapatkan pengesahan kesihatan sebelum dibenarkan mendaki. Surat kesihatan ini boleh didapati di PMI ataupun Pusat Kesehatan Masyarakat (PUSKESMAS). Rekod asas kesihatan seperti berat, ketinggian, tekanan darah , dan soal jawab dilakukan sewaktu kami berada di PMI. Harga yang dikenakan hanyalah 15000 Rp, sekitar RM5.

Palang Merah Indonesia di Kota Probolinggo

Keesokan paginya, sinar mentari memayungi Desa Ranupani yang permai. Cuaca elok untuk meneruskan ‘misi Semeru’ atau juga dikenali sebagai ‘Mahameru’. Kelihatan pendaki-pendaki lain berkumpul di  hadapan rumah rehat berdekatan. Kami memulakan perjalanan sekitar pukul 8.30 pagi. Saya, rakan saya; Dulmani, ‘guide’ kami; Mas Sulisman, dan juga ‘porter’, Mas Tomi. Kami berempat menyusur perkampungan, melintas kebun-kebun petani, dan memulakan perjalanan di lereng-lereng bukit. Cuaca agak terik pada mulanya.

Isyarat telefon masih mempunyai liputan setibanya di Pos 1. Kami berdua telah mengambil kad telefon SIMPATI sepanjang perjalanan di Indonesia, kerana capaiannya yang agak meluas. Pun isyaratnya semakin menghilang bila kami terus melangkah. Pada waktu petang, di Pos 1 ini ada orang yang berjualan. Pondok untuk istirahat dan kamar melepas hajat setelah hampir satu jam sejak memulakan perjalanan.

Merakam gambar kenangan sebelum pendakian.

Laluan ke Semeru ini tidaklah sesukar mana. Setiap 100 meter, terdapat tanda yang  menunjukkan arah laluan. Dingin mula terasa sambil kami meneruskan perjalanan. Cuaca yang terik sudah hilang sengatnya. Kabus kelihatan berarak perlahan-lahan. Terdapat sembilan pos petanda arah ke Semeru. Terkadang kami berhenti rehat; meneguk air minuman, menjamah coklat ‘Kit Kat’ yang menjadi bekalan, dan berbual-bual dengan orang tempatan yang melakukan kerja-kerja pembaikan di pos tertentu.

Perjalanan diteruskan sehingga kami berhenti di Pos 5 yang menakjubkan. Danau yang terbentang luas dengan pemandangan yang mengasyikkan; Ranu Kumbolo. Inilah juga antara ‘wish list’ yang mahu saya lakukan sebelum ini; menjejakkan kaki ke Ranu Kumbolo. Hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukurnya saya diberi peluang melihat keindahan alam di depan mata. Sungguh! Saya jatuh hati dengan Ranu Kumbolo. Melihat setiap sudutnya, mengambil gambar kenangan, bertenang, dan berehat di hadapan tasik yang terbentang luas.

Ranu Kumbolo; gambar seribu makna.

 

Kami menikmati makan siang (makan tengah hari), di sana. Mas Sulisman dan Mas Tomi menyediakan minuman panas yang boleh dicicah dengan roti gebu dari Surabaya, kiriman oleh-oleh teman sewaktu kami di Bromo. Kemudian, mereka menghidangkan pula ‘spaghetti’ dengan sos tomato dan telur goreng sebagai alas perut. Inilah perasaan menikmati juadah ‘bintang 5’ di tengah hutan belantara. Pengalaman yang terindah!

Kelihatan beberapa orang remaja berehat-rehat dan bersenda gurau. Pasti mereka baru sahaja turun daripada Semeru. Khemah boleh didirikan di kawasan yang lapang ini. Sesetengah orang , hanya mahu berkunjung ke Ranu Kumbolo, ‘camping’ melihat matahari terbit dan terbenam daripada celah-celah bukit. Sesetengah yang lain pula, menjadikan Ranu Kumbolo sebagai tempat persinggahan, memulihkan tenaga sebelum meneruskan ‘trekking’ dan mendaki Gunung Semeru.

Makanan ‘bintang 5’ di tengah hutan belantara.

 

Kami meneruskan perjalanan ke pos seterusnya di hutan cemara, iaitu Cemoro Kandang. Padang rumput yang meluas di sebalik Ranu Kumbolo  juga memukau pandangan. Padang rumput yang dinamakan sebagai ‘Oro-Oro Ombo dikelilingi oleh bukit dan gunung. Lerengnya ditumbuhi dengan pokok pinus (Pine). Jalannya landai, tidaklah menyukarkan. Sesekali, saya berjalan jauh ke hadapan ,mendahului yang lain.  Kemudian, menghempas beg di sisi kerana keletihan. Meneguk air, mengunyah coklat, dan meneruskan perjalanan kembali apabila rakan-rakan telah tiba.

“Teruskan, Mas!”

“Dikit aja lagi!”, tegur pendaki-pendaki yang dalam perjalanan pulang sewaktu kami berpapasan.

Bila hujan turun renyai-renyai, kami mempercepat langkah. Terkadang, kami menunggu di pondok yang berhampiran untuk berteduh. Selepas melewati Cemoro Kandang, kami menapak ke pos seterusnya di Jambangan dan akhirnya tiba di Kalimati, hentian terakhir untuk istirahat. Jam menunjukkan hampir pukul 4 petang sewaktu kami tiba di Kalimati. Semua pendaki akan bermalam di sini. Pos terakhir sebenarnya adalah Arcopodo; iaitu kira-kira 1.5KM ke Semeru. Tetapi, keadaan tanahnya yang kurang stabil, menjadikan Kalimati sebagai tempat terakhir berehat.

Khemah didirikan. ‘Sleeping bag’ dikeluarkan bersama bantal kecil untuk mengalas kepala. Gunung Semeru yang berbentuk kon gagah kelihatan di hadapan. Kepulan-kepulan asap bisa terlihatkan daripada puncaknya. Sementara menunggu makan malam yang disediakan, kami menghirup kopi susu yang panas bersama roti dan biskut yang dibawa. Nikmatnya terasa!

Khemah untuk beristirahat.

Malam terasa pantas, apabila pukul 6 sore(petang) suasana gelap meliputi seluruh kawasan. Sup sayur hangat dan nasi goreng yang disediakan oleh Mas Sulis dan Mas Tomi sungguh menyelerakan. Ayam goreng, tembikai susu, teh panas betul-betul nikmat bila dimakan di dalam khemah, sambil lagu di telefon terpasang memecah sunyi. Kami memakai lampu kepala supaya kelihatan lebih terang. Cuaca di luar terasa dingin sekali. Para ‘guide’ dan ‘porter’ pula menginap di ruangan mereka masing-masing. Kami memaksa untuk menutup mata bila jam baru pukul 7 malam, walaupun terasa seperti tidur-tidur ayam.

Mas Sulisman mendatangi khemah kami kira-kira pukul 12 tengah malam. Beliau menyajikan pula roti panas sebagai sarapan sebelum kami meneruskan pendakian. Kira-kira pukul 12.40 kami keluar meninggalkan khemah dan meneruskan pendakian. Cahaya bulan purnama menerangi kawasan hutan di Arcopodo. Sesekali kami mengambil nafas, bila ketinggian terus bertambah.

Xylophile; seseorang yang menyukai hutan dan pepohonan.

Kota Malang kelihatan penuh bercahaya, bila dipandang daripada lereng bukit. Cabaran pun bermula bila kami meninggalkan kawasan Arcopodo; kawasan terakhir yang dihuni tumbuhan. Seterusnya, hanyalah bukit pasir yang curam dan tanah yang mudah menggelongsor; tidak kejap.

Walaupun terasa dingin, namun keringat tetap membasahi tubuh. Langkah disusun penuh hati-hati. Pelbagai perasaan, dialog sendirian yang bermain di fikiran. Kami merangkak! Perasaan menjadi lebih sebal bila kaki saya pula terlepas pijakan yang kejap. Saya hanya baring tertiarap. Bila-bila masa sahaja boleh terjatuh. Hanya badan yang menampung, melekap pada pasir-mudah-longsor. Mas Sulisman menolak kaki saya dari bawah, menjadikan tangannya sebagai sokongan untuk menujah saya ke atas. Memang terasa debarannya.

Jam menunjukkan pukul 4.17 subuh waktu tempatan. Telefon sel saya, tiba-tiba mendapat liputan yang entah pada ketinggian keberapa. Saya menghantar pesanan kepada kakak. Saya memberikan nombor telefon agensi pelancongan yang mengurus, saya berikan nombor telefon rakan seperjalanan saya yang masih jauh di bawah, dan saya kirimkan beberapa keping gambar yang curam, berpasir dan tidak kejap.

 

Selalunya, saya memang kongsikan maklumat sebegini bila berkelana di luar,tapi bukan di Indonesia. Mungkin kerana saya sudah banyak kali ke sini, saya terlupa untuk melakukannya seawal perjalanan.

 

“Di sini sangat cerun. Berpasir. Curam”

Saya taip secepatnya kerana takut kehilangan liputan isyarat SIMPATI.  Saya sesekali sudah pasrah untuk sebarang kejadian.

“Kalau Mas Razaq terinjak batu, jerit batu. Takut orang yang dibawah lagi terkena. Minggu kelmarin ada yang tewas (maut), kerana batu jatuh dari atas”.

Fuh!

Gunung Semeru. Cerun dan berpasir. Tiada tali untuk berpegang.

Saya juga ada terbaca pendaki yang tewas di Semeru sebelum perjalanan ini bermula. Tapi, masih juga saya ingin teruskan. Katanya mahu mencabar diri. Tapi bila sudah berada disini dan merasai saat tubuh saya bergantung kepada pasir untuk menongkah badan, fikiran menjadi cacamerba.

“Mengapa saya pilih laluan ini?”

Sesekali mahu juga air mata dirembeskan. Sedikit. Gunung Mahameru berbentuk kon. Gunung berapi yang masih aktif dengan status Aras 2; maksudnya waspada. Justeru,untuk mendaki ke puncak, para pendaki perlu melalui bentuk ‘hipotenus’-nya seperti garisan panjang pada segi tiga. Yang termudah untuk dilakukan adalah dengan merangkak, seperti asas dalam kestabilan suatu objek, luas permukaan yang lebih besar adalah yang lebih baik.

 

“Mas Tomi, benter!”, pinta saya supaya Mas Tomi memperlahankan langkahnya. Rakan saya dan Mas Suliman sudah jauh ketinggalan di bawah.

Udara terasa berkurangan. Tekak kering. Seluruh tubuh kedinginan. Mungkin juga simptom ‘Acute Mountain Sickness’ (AMS), mula ‘menyerang’.

Saya mengingatkan diri bahawa ini adalah permainan mental. Saya mesti kuat. Tapi bagaimana mahu kuat kalau kaki saya berpijak hanya di atas pasir yang mudah menggelongsor.
Saya mengingatkan bahawa saya perlu pulang ke rumah. Saya perlu berjumpa keluarga. Saya perlu berjumpa dengan Muhammad; anak-anak keponakan saya dan menceritakan pengalaman ‘traveling’ ini. Maka,saya tidak boleh ‘tewas’ di sini. Di gunung ini. Jauh dari tempat tinggal saya. Saya terus bermonolog dalaman.

Berbatu dan berpasir.

Mungkin Tuhan takdirkan supaya saya mesti mencuba sehingga ke puncak kerana Tuhan izinkan berlakunya perjalanan ini?

Atau,

Boleh jadi takdir juga  menentukan supaya  saya ‘tewas’ di sini?.

Macam-macam yang datang dalam fikiran saya. Bila berpeluang untuk berehat di kawasan yang kejap, saya melihat ke bawah. Kemudian, saya melihat ke atas. Sadis. Gunung Mahameru adalah gunung pertama yang saya daki seumur hidup ini.

 

“Mas Tomi,jauh lagi?”
“Lumayan,Mas”

“Mas Tomi, ada tempat yang bisa untuk duduk rehat?”
“Nggak ada,Mas. Cuma berdiri aja,Mas”.

“Bentar, Mas Tomi. Air”
Dia menghulurkan botol.

 

Fajar menyinsing. Lapisan-lapisan merah pada garis-garis langit. Saya pandang jauh ke depan. Tekak kekeringan. Entahlah untuk kali keberapa saya berhenti. Kelibat rakan saya dan Mas Sulis,tidak kelihatan sudah di bawah. Entah berapalah ketinggian pada waktu ini.

 

“Mungkin mereka nggak teruskan,Mas”kata Mas Tomi.

“Saya cuba aja ni Mas”.

“Udah dekat ni. Teruskan aja. Sikit aja lagi!”

“Bener,Mas? Kita sudah lepas pertengahan?”

“Iya,udah dari tadi”

‘Sorga’ para pendaki.

 

Kelihatan bendera merah putih,Indonesia berkibar megah di puncak.

“Iya,ayo Mas”.

Ada kekuatan. Walaupun kepenatan. Sungguh.

“Semangat,Mas. Dikit lagi”, jerit pendaki yang menghampiri.

“Iya,terima kasih!”

Setapak dan setapak. Kelihatan asap tebal gunung berapi. Sedikit demi sedikit. Saya sampai. Mas Tomi tersenyum.

“Ini baru landai,Mas!”

Saya terharu sendirian. Dan sujud kesyukuran.

Mahameru yang menakjubkan.

“Good job,Zaq!”

Terima kasih,Tuhan. Terima kasih,Mas Tomi untuk temankan saya sehingga ke puncak. Kami bermula pada pukul 12.40 pagi. Saya sampai ke puncak pada pukul 5.30 pagi. Pemandangan yang sangat indah bila kita sudah berada di puncak. Dentuman gunung berapi berlaku pada setiap dua puluh minit. Disusuli asap tebal yang memutih. Kelihatan sekumpulan manusia yang melakukan upacara ritual. Selang tiga puluh minit, kedengaran nama saya dipanggil.

Kawan saya, Dulmani dan Mas Sulisman tiba di puncak. Perasaan yang tidak mungkin dapat digambarkan melalui penulisan. Patutlah namanya juga dikenali sebaga ‘Maha’-meru!

Pada ketinggian 3676 MDPL, kami berjaya menakluk ‘bumbung Jawa’.

 

Artikel ini disumbangkan oleh Abdul Razzaq Bakri. Beliau boleh diikuti di laman Facebook di sini.

 

Comments

comments

About Abdul Razzaq Bakri 3 Articles
Abdul Razzaq Bakri suka mencicip 'coffee latte' hangatnya pada masa terluang sambil menikmati kehidupan yang sebelum, hari ini dan seterusnya. Kadang-kadang, tenggelam juga dalam emosi bila mencari makna dalam kehidupan. Hidup jangan separuh-separuh, hidup biar sepenuhnya!

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*